Wednesday, March 27, 2013

solat jamak


Antara kekeliruan/kesilapan yang boleh saya senaraikan adalah:


[a] - Solat jamak hanya boleh dilakukan ketika bermusafir.

[b] - Ianya mesti dilakukan secara pakej, iaitu dilakukan berserta dengan solat qasar.

[c] - Apabila di dalam pertanyaan menyebut ‘menjamakkan solat’ yang dimaksudkan penanya adalah melakukan solat jamak dan qasar. Bukan solat jamak sahaja.

[d] - Tidak melakukan solat jamak kerana tidak tahu lafaz niatnya.

[e] - Tidak boleh melakukan solat jamak melebihi tempoh tiga atau empat hari (kerana terkeliru antara solat jamak dan solat qasar)



Tujuan saya menyusun risalah ringkas ini bukanlah untuk menghuraikan segala permasalahan solat jamak dan qasar tetapi sekadar berharap dapat memberi penjelasan dan pencerahan terhadap solat jamak sahaja. Semoga ianya dapat mengeluarkan pembaca daripada kekeliruan.



BERKENALAN DENGAN SOLAT JAMAK



Solat jamak bererti menghimpunkan dua solat dalam satu masa. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, jld. 2, ms. 336][1] - Zuhur + Asar di dalam waktu Zuhur (taqdim) atau di dalam waktu Asar (takhir).

[2] - Maghrib + Isyak di dalam waktu Maghrib (taqdim) atau di dalam waktu Isyak (takhir).

Dalil:


 


كان صلى الله عليه وسلم في غزو تبوك إذا ارتحل قبل زيغ الشمس أخر الظهر إلى أن يجمعها إلى العصر فيصليهما جميعا , و إذا ارتحل بعد زيغ الشمس عجل العصر إلى الظهر , و صلى الظهر و العصر جميعا , ثم سار و كان إذا ارتحل قبل المغرب أخرالمغرب حتى يصليها مع العشاء , و إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب

 

Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat Zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak (Jamak Takhir -pen).

Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) kemudian bagindapun berangkat (Jamak Taqdim -pen).

Apabila baginda berangkat sebelum Maghrib maka baginda mengakhirkan solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya (Jamak Takhir -pen).

Dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib) (Jamak Taqdim -pen).
[Dikeluarkan Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits as-Sahihah – hadis no: 164.]
Namun perlu diingatkan bahawa solat jamak hanya dibolehkan antara Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian.



SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK SEMESTINYA SATU PAKEJ
Maksud solat jamak seperti yang telah dijelaskan. Solat qasar pula bererti mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 rakaat secara 2 rakaat apabila seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili , jld. 2, ms. 336]



Kedua-dua solat ini tidak semestinya dilakukan secara bersama. Kalau dilihat pada pensyaratan melaksanakan solat qasar dan jamak juga berbeza. Solat qasar hanya boleh dilakukan ketika di dalam keadaan bermusafir manakala syarat dibolehkan solat jamak pula lebih luas. Sila rujuk sub-topik SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN.



SOLAT JAMAK BUKAN DALAM KEADAAN BERMUSAFIR



Bermusafir bukanlah faktor penentu untuk melakukan solat jamak kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melaksanakan solat jamak ketika di Madinah. Disebut di dalam sebuah hadis dari Ibn Abbas:


 


صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]
Imam al-Nawawi telah berkata:

“Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat (kebiasaan -pen) yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut al-Syafi'i”. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]



Syarat bagi melakukan solat jamak bukanlah terbatas kepada faktor musafir sahaja. Syarat-syarat yang lain akan diterangkan secara terperinci di dalam sub-topik berikutnya.



SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN
[1] - Bermusafir

Seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:


 


صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]Hadis di atas menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan. Sila lihat syarat-syarat lain di bawah.[2] - Suasana yang sukar atau sulit
Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada meghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya. Ketika ditanya kepada Ibn Abbas radhialllahu‘anhu tentang mengapa dibolehkan solat jamak, beliau menjelaskan:


 


أراد أن لا ‏ ‏ يحرج أمته

 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. [Atsar sahabat yang dikeluarkan oleh Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no:1211][3] - Jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak


Contoh keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya. Pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek. Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya. Dalilnya adalah:


 


عن عبدالله بن شقيق، قال: خطبنا ابن عباس يوما بعد العصر حتى غربت الشمس وبدت النجوم. وجعل الناس يقولون: الصلاة. الصلاة. قال فجاءه رجل من بني تميم، لا يفتر ولا ينثني: الصلاة. الصلاة. فقال ابن عباس: أتعلمني بالسنة؟ لا أم لك! ثم قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء.
قال عبدالله بن شقيق: فحاك في صدري من ذلك شيء. فأتيت أبا هريرة، فسألته، فصدق مقالته.

 

Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas.
[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]
Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya (kebaikan – pent.). Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. [Lihat Koleksi Hadis Hukum, Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, ms. 350]
Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:

“...Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman –pen). Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi'ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya." [Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, jil. 13, ms. 424-425]
Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa

a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.

b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar.

c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.



[4] - Jamak kerana hujan
Antara salah satu sebab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solatnya di Madinah adalah kerana turunnya hujan lebat yang menjadi pegangan kuat mazhab Syafi’i. Hikmah yang boleh difikirkan adalah tindakan ini bertujuan supaya tidak menyusahkan umatnya untuk kembali semula ke masjid dalam suasana hujan yang pastinya menyebabkan para jemaah basah kuyup atau kotor kaki mereka kerana terpaksa meredahi becak dan lumpur akbat hujan tersebut. Disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas radhiallahu’anhu:


 


جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء، بالمدينة. في غير خوف ولا مطر.

 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan.[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]
Sekalipun hadis tersebut secara jelas menyatakan bahawa Rasulullah shalallallahu ‘alaihi wasallam pernah melakukan solat jamak selain disebabkan ketakutan atau hujan, secara mafhum (fahaman tersirat) ianya menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solat ketika hujan.

Namun perlu diperhatikan syarat-syarat dan cara-caranya dilaksanakan:

a. Solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja. Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan.

b. Waktu yang dibenarkan untuk di"jamak"kan solat ialah pada waktu Zohor yang di”jamak”kan dengan waktu Asar, ataupun solat Maghrib yang di”jamak”kan dengan solat Isyak pada waktu Maghrib. Maknanya tiada “jamak taakhir” dalam kes “jamak” kerana hujan.

c. Hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jamaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib.

d. Hujan yang menyebabkan solat boleh di”jamak”kan ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan renyai – renyai.

e. Ada juga di kalangan ulama Syafi’iyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jamak kerana hujan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja, dan barangsiapa yang tinggal dekat dari masjid mereka tidak dibenarkan melakukan jamak. (Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab Syafi’i sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh dan tiada sandaran dalil yang kuat) [Lihat: al-Syarbini al-Khatib (t.t), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil: 1, hal: 275; al- Nawawi (1994M), Raudat al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil: 1, hal. 503, al-Hisni al-Syafii (1994M), Kifayat al-Akhyar, tahqiq: A Hamid Ba Haji, Beirut: Dar al-Khayr, hal. 140. Dinukil daripada tulisan Ustaz Maszlee Malik, Rukhsah Solat Jamak]


 

TIDAK TAHU LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK
Ini merupakan pengalaman peribadi suatu masa dahulu, keluarga, sahabat handai dan orang-orang yang bertanya. Antara peyebab ditinggalkan solat jamak adalah kerana tidak tahu bagaimana hendak melafazkan niat bagi solat jamak. Adakah “sahaja aku solat jamak zuhur dan asar…” ataupun “sahaja aku jamakkan solat zuhur dan asar..”? Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bagaimana melafazkan niat untuk apa jua solat sekalipun, termasuklah solat jamak. Itulah sebabnya mengapa tiada hadis sahih berkenaan cara-cara melafaz niat baik untuk solat fardhu mahupun solat sunat. Setiap amalan memerlukan niat, tetapi bukanlah memerlukan melafaz niat. Cukup sekadar lintasan azam/hasrat/keinginan di dalam hati kita mengetahui apa yang hendak/bakal dilakukan. Melafazkan niat itu hanyalah ijtihad ulamak bagi membantu orang yang mempunyai penyakit was-was yang keterlaluan.

Di dalam Ighatsatul Lahfan Ibn Qayyim rahimahullah menyatakan:

Niat ertinya menyegaja dan bermaksud sungguh-sungguh melakukan sesuatu. Dan tempatnya adalah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan... [Dikemukakan oleh Imam Ibnu Qudamah dalam Dzammul Muwaswisin, ms 5-6 dan Syaikh Sayyid Sabiq di dalam Fikih Sunnah, Victorie Agencies, jld. 1, ms.286]



Dalam menghuraikan tentang hadis "tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat", Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan:
Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud...
...Baidhawi berkata: "Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudharat, sedangkan syari'at aadalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya" [Dinukil secara berpisah dari Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari (terjemahan Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azam, jld 1 ms. 19]



Berikut adalah satu contoh bagi memudahkan pemahaman: Niat hendak makan roti canai. Tidak perlulah melafazkan atau menyusun ayat dalam hati "sahaja aku makan roti canai pada waktu tgh hari berserta kuah kacang dal". Memadai lintasan dlm hati kita mengetahui kita ingin menikmati roti canai maka kita pun pergi makan roti canai.

Namun ditegaskan, Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zuhur bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu Asar. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut bahawa solat Zuhur aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika dalam waktu yang pertama. [Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, jld. 2, ms. 377]


 

PENUTUP KATA
Moga risalah ringkas ini dapat menjawab persoalan dan merungkai kekeliruan tentang solat jamak. Moga pengetahuan mengenai solat jamak ini juga dapat menjadikan kita tidak mudah bersangka buruk dengan individu yang mengamalkan solat jamak berbeza dengan pemahaman ilmu kita yang terhad sebelum ini. Semoga Allah melimpahkan hidayah dan taufik-Nya kepada kita.

Wallahua’lam...


 

Sunday, March 3, 2013

panduan menambat hati suami

Kebahagiaan berumahtangga merupakan impian dan harapan semua pasangan suami isteri. Bukan sahaja kebahagiaan duniawi yang dicari bahkan juga kebahagiaan akhirat sebagaimana keinginan untuk menjadikan rumahku adalah syurgaku. Berikut adalah panduan khusus buat isteri yang solehah...
1. Selalu berdoa agar suami sentiasa menyayangi kita. Bila suami balik dari kerja, tegur dan sentuh suami sebelum kita membuat kerja-kerja lain.

2. Tunjukkan keprihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai kegiatan suami sepanjang hari. ( jika suami dalam mood yang sesuai) Belajar dan berlatihlah untuk mendengar dengan baik dan bertanya dengan tepat. Jangan tergesa-gesa untuk menyelesai masalah suami. Apa yang lebih penting ialah memberi perhatian dan simpati.

3. Luangkan masa yang betul-betul "berkualiti" sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari kepada suami.

4. Tanya ibu mertua, abang atau kakak ipar mengenai hadiah yang disukai oleh suami dan belikan hadiah tersebut sebagai cenderahati atau untuk memujuk.

5. Beri pujian terhadap penampilan suami.(rambut, wajah, pakaian kacak, kesederhanaan dan seumpamanya).

6. Cepat-cepat pujuk bila suami marah atau berkecil hati. Minta bantuan suami hanya jika sesuai. Sesuai pada masa, tempat dan jenis profesyennya.

7. Elakkan suami dari menunggu terlalu lama terutama bila bersiap.

8. Bila suami memberitahu yang dia akan pulang lewat, ucapkan terima kasih kerana memberitahu. (Lebih baik beritahu dari tidak beritahu langsung )

9. Bila suami meminta bantuan, buatlah dengan serta merta dengan ikhlas dan gembira dengan tidak mengungkit atau banyak komen. ( sesungguhnya Allah sangat gembira perbuatan yang demikian).

10. Ucapkan kata-kata sayang yang romantik pada suami sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Jika kita marah, tunggu hingga sejuk. Bila sudah sejuk beritahu suami apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan sesekali salahkan suami.

11. Bila suami bercakap, beri perhatian sepenuhnya, hentikan apa jua pekerjaan yang sedang dilakukan. ( jika boleh )

12. Bila ingin memesan barang untuk dibeli oleh suami, senaraikannya di atas kertas.Jangan buat suami terpaksa pergi ke kedai 2 atau 3 kali.

13. Tanya suami bila dia ingin berehat atau tidur.

14. Peluk suami dengan penuh kasih sayang sebanyak 7 kali sehari.

15. Telefon suami di tempat kerja hanya apabila ada perkara penting/ kecemasan sahaja. Telefonlah dengan lebih kerap apabila suami menggalakkannya.

16. Jika suami perlu menjauhkan diri sekali-sekala, tanya bila dia akan pulang. Fahamilah, dia perlu bersendirian utk berfikir.

17. Jangan ganggu suami ketika dia sedang asyik melakukan sesuatu yg memerlukan penelitian.

18. Jika suami marah, jangan sekali-kali menjawab, hanya tunduk dan diam (walau pun kita tak bersalah ). Terangkan keadaan yang sebenar selepas dia sejuk.

19. Bila meminta bantuan suami : terangkan pada suami dengan jelas mengenai kerja kerja rumah yang perlu bantuan. Beri pilihan kerja yang disukainya. Jangan menyuruh-nyuruh & gunakan perkataan yg sesuai dan lemah lembut.

20. Pesan kepada suami untuk menelefon rumah apabila out-station. Jangan marahi dia jika dia tidak berbuat demikian cuma terangkan akan kerisauan kita apabila tidak mendapat berita.

21. Sentiasalah kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

22. Sokong pendapat suami kalau pendapatnya berbeza dgn org lain.

23. Peluk dan belai suami sekali-sekala tanpa implikasi seksual.

24. Bila keluar berkereta: Jangan ganggu suami yang sedang memandu ( walau pun ada jalan yg lebih dekat atau kita sendiri boleh memandu dgn baik.).

25. Jangan menunjuk-nunjuk yang kita tahu jalan selagi tidak dipinta berbuat demikian. Jangan berleter bila suami tersalah jalan semasa memandu. Bersangka baik apabila tersesat jalan.

26. Sabar dan tenang bila mendengar cerita atau masalah suami.

27. Jangan tukar-tukar saluran televisyen bila menonton bersama suami.

28. Jaga maruah suami terutama di khalayak ramai dan ikut kehendak suami diketika itu.Segala bantahan boleh dilakukan semasa berdua-duaan.

29. Bila berpegangan tangan, peganglah sebagaimana yg disukai suami.

30. Buatlah air minuman untuk suami tanpa diminta dan tanpa bertanya "Abang nak minum air apa?" atau " Abang nak minum ke?"

31. Bila makan diluar, berilah peluang pada suami untuk memilih tempat / meja mana yang disukai. Tanyakan pada suami bagaimana kita perlu berkelakuan dikhalayak ramai ketika disisinya.

32. Sentiasa bersegera apabila bersiap & jgn tiba-tiba ingin menukar baju yg dipakai.

33. Sentiasa lebihkan suami daripada anak-anak. (jika sesuai)

34. Belikan hadiah-hadiah praktikal dari semasa-ke semasa:- tali pinggang, kasut,cermin mata hitam dan seumpamanya.

35. Beri layanan istimewa pada suami di hari-hari istimewa. Pergi " dating" atau " berbulan madu" sekali sekala.

36. Jika suami melakukan kesalahan / kesilapan, jangan sesekali menempelak atau "pulangkan paku buah keras ".

37. Hantar kad ucap selamat pada hari-hari istimewa.

38. Urut mengurut suami dari semasa ke semasa.

39. Layanlah suami sepertimana kita melayannya semasa baru-baru kenal dahulu.

Friday, February 15, 2013

TANDA2 SANTAU


Santau terbahagi kepada dua:

Jenis Pertama – Santau yang diperbuat daripada adunan tertentu secara hakiki iaitu tidak melibatkan jin dan syaitan. Santau jenis ini agak mudah dirawat.

Jenis Kedua – Santau yang disertai dengan pemujaan terhadap jin dan syaitan. Santau ini juga dikenali dengan ‘Santau Angin’. Santau ini agak sukar dirawat kerana ia melibatkan jin yang memiliki sayap dan terbang di udara. Biasanya mangsa akan menjadi kurus kering.


Secara umumnya, santau ditujukan kepada mangsa bertujuan seperti berikut:

- Membalas dendam kepada si mangsa kerana sebab-sebab tertentu.
- Iri hati dan hasad dengki terhadap orang lain.
- Ingin menguji tahap kekuatan atau ketahanan kebatinan seseorang.
- Sebagai medan menguji tahap kekuatan dan kesan santau yang dimiliki.
- Membuang santau. Santau angin mesti dibuang pada masa tertentu. Jika tidak berbuat demikian, santau tersebut akan memakan tuannya dan keluargannya.
- Mencari rezeki melalui upah untuk kenakan santau kepada seseorang.

Bahan-bahan Santau:

- Bahan yang berbisa seperti bisa ular tedung senduk, ular kapak dan katak puru bertanduk.
- Bahan miang seperti miang buluh, ulat bulu, miang rebung, tali guni dan sebagainya.
- Bahan yang tajam dan melukakan seperti kaca, jarum, berus besi, rambut, kuku manusia atau binatang dan sebagainya.
- Bahan yang boleh membuat seseorang itu tidak dapat tidur seterusnya menjadikan bodoh seperti kura-kura, tulang dagu kera duku, uri kucing, biji mata kelawar dan burung jampuk.

Tanda-tanda terkena santau:

Jika seseorang mempunyai ciri-ciri berikut maka beliau disyaki telah terkena santau:
- Batuk yang berlarutan, kadang-kadang batuk berdarah dan bernanah dan keluar debu-debu kecil seperti serbuk kaca.
- Istihadah yang berpanjangan bagi wanita sehingga satu hingga tiga bulan atau lebih.
- Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu Maghrib dan malam Jumaat. Kadang-kala sakit menjadi-jadi semasa hendak masuk waktu solat Jumaat.
- Sakit sesak nafas terutaman waktu Maghrib.
- Lenguh seluruh anggota badan.
- Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
- Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
- Mimpi bahan-bahan yang miang seperti buluh dan ulat bulu.
- Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
- Mimpi kanak-kanak kecil seperti menyusu kanak-kanak tersebut.
- Mimpi binatang yang menakutkan seperti ular.
- Mimpi makan makanan kotor seperti bangkai dan babi.
- Mimpi paderi Kristian, sami Budha atau mimpi pergi ke tempat-tempat ibadat agama bukan Islam.
- Sentiasa sakit pada tulang belakang
- Bawah matanya biru (Seperti orang tak cukup tidur)


Kesan-kesan Santau:

Antara kesan-kesan santau terhadap mangsa adalah seperti berikut:

- Boleh membawa maut dengan izin Allah s.w.t.
- Hilang daya ingatan
- Kulit akan menjadi merekah dan keluar air bisa dan nanah,
- Tabiat akan berubah seperti seorang yang dikenali sebagai seorang bersifat penyakit menjadi seorang yang panas baran.
- Badan menjadi bongkok disebabkan batuk yang berpanjangan.
- Badan menjadi licin kerana seluruh bulu di badan telah gugur.
- Kelopak mata menjadi kehitaman akibat daripada tidur yang selalu terganggu.
- Terjadinya ‘saratan’ atau kanser dan ketumbuhan.
- Jika hamil mungkin akan mengalami keguguran.


Panduan Mengesan Kehadiran Santau:

Apabila orang yang terkena santau angin, makan limau nipis atau nenas bersama kicap dan mereka akan muntah darah kerana santau itu berlawanan dengan bahan berkenaan dan pesakit juga berasa sakit pada seluruh anggota badan seperti dicucuk dengan benda tajam.

Panduan untuk kita mengesan kehadiran santau bila kita makan di kedai makan ataupun di restoran daripada Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Ustaz Mohd Suhaimi Bin Rozali:

Ketika mengambil makanan, jangan mencampurkan kuah lauk dalam nasi, tetapi kedua-duanya hendaklah diasingkan dalam bekas yang berbeza. Pastikan kuah lauk yang dihidang tidak berbau basi kerana kemungkinan ia mengandungi racun santau.

Bagi minuman pula, pegang gelas seperti biasa manakala jari kelingking ditekan pada bawah gelas jika rasa sakit seperti digigit semut api maka ia mengandungi santau


Ayat Pelindung Diri dari Santau

Ayat di atas ini adalah amalan bagi mengelakkan dari terkena santau ataupun bagi pendinding diri dari segala mudharat. Hadith nabi "Sesiapa yang membacanya ketika pagi sebanyak 3 kali dan petang sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan dimudharatkan oleh sesuatu pun". Segalanya dengan izin Allah SWT. Seeloknya ayat ini diamalkan sekurang-kurangnya sebanyak 3 atau 7 kali sebelum keluar daripada rumah setiap hari


Antara ayat-ayat lain yang boleh diamalkan untuk mengelakkan santau boleh ke website Darussyifa yang diasaskan oleh Dato` Dr. Haron Din di sini


Semoga ilmu ni bermanfaat untuk semua:-)



Tuesday, December 11, 2012

Petua melembutkan hati anak

Mengikut sesetengah pendapat, umur seperti ini perlu dimanjakan dan jangan sesekali dipukul. Sekiranya dia bersikap 'degil' sekalipun cuba la kaedah lain untuk mengurangkan degilnya itu. Kita dulu pun pernah melalui usia sebegini dan pernah bersifat degil(atau masih juga degil dah dewasa ni cuma cara nya berbeza kot). Antara kaedah yang boleh dicuba dan dipraktikkan adalah:

1. Cubalah cara ini:
1. Semasa anak sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).
2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.
3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.
4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.
5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak.


2. Bacaan dari al-Quran yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah kedegilan dan panas baran anak:
Membaca surah Thaha ayat 1-5
Membaca surah Ikhlas, Fatihah, Ayat Kursi (1 kali )
Membaca bismillah 5 (3 kali )


3. Baca Ya Muqit berulang kali, kemudian tiupkan pada air dan bagi anak minum. Perlu selalu dibuat dan tawakal serta berserah pada Allah S.W.T.


4. Cara ini juga boleh dicuba
1) Sewaktu bangun dari tidur pada waktu pagi, peluklah anak sebanyak 3 kali.
2) Usapkan kepala anak dan berselawat sambil berniat di dlm hati (bergantung pada niat kita untuk si anak)
3) baca al-fatihah dan baca surah taha ayat 1-5, kemudian baca doa Nabi Daud sebanyak 3kali. {"YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA)..SEBAGAIMANA ENGKAU LEMBUTKAn NABI DAUD AKAN BESI"} dan hembuskan pada makanan/minuman.


5. Amalan yang baik dan senang untuk kita amalkan untuk melembutkan hati anak-anak dan supaya mudah menerima pelajaran apa yang diajar oleh gurunya. Baca ayat [Al-Hasyr: surah 59 ayat 21] dan hembuskan pada ubun-ubun anak tiap-tiap pagi dan dan malam ketika anak hendak tidur.


"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." [Al-Hasyr: surah 59 ayat 21]


Kaedah2 ini bukan sahaja boleh dipraktikkan untuk mengurangkan degil untuk anak kecil, malah boleh dilakukan keatas semua peringkat usia terutama untuk orang yang kita sayang. InsyaAllah, dengan izin Allah S.W.T segala usaha kita akan berhasil.


Jom amalkan Doa Melembutkan Hati Anak / Suami / Isteri


Klik Di Sini Untuk Zoom Gambar


Ayatnya berbunyi : Alla hu latifum bi'ibadihi, yar zuqumay..ya sha... wahuwal qa wi yul aziz.


Tafsirnya: “ِAllah maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang maha kuat, lagi maha kuasa.”


Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak.


Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.


Di sini, aku ingin berkongsi antara doa2 yang patut diamalkan dalam menangani kerenah anak sendiri.
Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19, surah as-Syura bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”


Sebaiknya dibaca selepas Subuh iaitu dibaca pada pada air pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.
Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir 'Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.


Begitu juga, Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.


Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik, elok amalkan ayat 38, Surah Ali-Imran iaitu doa Nabi Zakaria bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. ”


Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.


Selepas solat lima waktu,amalkand oa daripada ayat 74, Surah al-Furqan bermaksud: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”


Ayat 40, Surah Ibrahim bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”


Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak. Doa itu senjata mukmin.إن شاء الله...

Sunday, April 8, 2012

12 CARA HUBUNGAN INTIM

12 Cara Membahagiakan Suami Dalam Hubungan Intim

Anda memang sudah “pakar” dalam hal bercinta. Namun apakah anda sudah 100% pasti apa yg anda lakukan itu cukup memuaskan hati suami anda? Anda perlu ingat ketika “bercinta”, suami isteri haruslah mampu memberikan kepuasa kpd pasangannya. Jika anda merasakan bahawa anda masih belum mampu “memuaskan”suami sepenuhnya, 12 tips yg dipaparkan ini mungkin mampu membantu anda.
1) Berani berinisiatif
Selalunya terjadi ketika hendak mengadakan hubungan seksual inisiatif selalunya dtg dpd pihak suami. Sedangkan isteri hanya menunggu. Ini kerana kebanyakan isteri berasa malu (tapi mahu ) untuk mengambil inisiatif walaupun mereka teringin utk melakukannya.

Sepatutnya dlm kehidupan seks suami isteri tidak boleh ada istilah malu. Isteri harus berani mengambil inisiatif sebab begini akan membuat suami gembira. Dan secara psikologi dapat mempengaruhi suami dalam bercinta.
2) Menghias Diri
Apabila ingin bercinta, isteri sepatutnya menghias diri. Jgn sesekali tampil ala kadar jer. Penampilan yg baik akan menambah semangat suami dlm bercinta. Sebab itu, sebelum bercinta, mandilah terlebih dahulu, pakailah pakaian yg bersih dan menarik. Juga sembur sedikit bau-bauan agar anda berbau harum.

3) Rapikan Kamar Tidur
Sebelum bercinta, rapikan tempat tidur. Bersihkan tempat tidur anda dari kain dan pakaian yg tidak berguna. Jika cadar dan sarung bantal kotor, gantikan dgn yg baru dan bersih. Jgn lupa untuk menyembur sedikit wangian agar ruang tidur terasa nyaman dan wangi. Tpt tidur yg rapi dan wangi secara psikologi akan dapat menambah semangat suami utk bercinta dgn anda.

4) Bersifat Aktif
Cumbuan adalah bumbu percintaan. Ia tidak boleh dipandang remeh kerana ianya sama penting dgn hubungan intim itu sendiri. Dan samada suami atau siteri, kedua-duanya dituntut utk aktif..

Sayangnya, dlm perkara ini yg aktif selalunya suami. Isteri sering bersifat pasif dan menyerah. Agar suami cukup berghairah, isteri perlu bersikap aktif melakukan ransangan di tempat-tempat sensitif.
5) Penuhi Kehendaknya
Dlm bercinta isteri sering menolak untuk melayani permintaan suami. Ini sering menimbulakan rasa jengkel dan marah si suami. Sebenarnya tiada alasan mengapa isteri perlu menolak keinginan suami, kecuali dia ingin anda melukukan diluar tabii. Apabila apa yg diinginkan suami itu dipenuhi isteri, maka suami akan berasa gembira dan puas. Dan perasaan sayang akan semakin kuat.

6) Tidak Statik
Sering terjadi, isteri hanya mahu melayan suami dalam satu gaya sahaja. Hal ini boleh menyebabkan suami merasa bosan. Untuk menghindari kebosanan suami, layanilah suami dgn berbagai gaya.

7) Bersikap Sopan
Ketika bercinta, isteri jgn sesekali bersikap kasar. Sentiasalah mengamalkan sikap yg sopan. Sikap sedemikian secara psikologi mempengaruhi semangat suami utk bercinta.

Tidak Mengungkit Kelemahannya
Dalam bercinta jgn sesekali mengungkit kelemahan suami, misalnya mengungkit tentang ukuran penisnya yg agak kecil atau pendek. Ungkitan seperti ini boleh menurunkan ghairah suami.

9) Tidak Mengeluh
Jgn terlalu byk mengeluh kerana itu hanya akan menyebabkan semangat suami untuk bercinta menurun.

10)Jangan Banyak Berbual
Anda mungkin seorang yg suka berbual. tetapi perkara ini jgn diamalkan ketika anda dan suami anda sedang bercinta. Sebab hal ini akan menyebabkan tumpuan suami dlm menikmati percintaan.

11) Bersifat Terbuka
Bersifat terbuka dan jujur adalah satu kemstian dlm bercinta, katalah isteri tidak suka apa yg dilakukan oleh suami, jgn sesekali berdiam diri sahaja. Sebaiknya berterus terang dan memberitahu apa yg seharusnya dilakukan oleh suami. Sikap yg begini akan menambah semangat suami dlm bercinta.

12) Beri Pujian

Setelah selesai bercinta, jgn lupa utk memberikan pujian atas kehebatan suami. Dgn pujian suami akan berasa bangga. Tetapi kalau suami kurang hebat jgn dicela. Dgn cara yg baik beritahu tentang kekurangannya dan kalau boleh beri cadangan untuk mengatasinya. Semua ini akan membuat suami tampil lebih baik lagi di masa akan datang.
Selamat mencuba!

RAHSIA MENJADI ISTERI SOLEHAH

Rahsia jadi isteri solehah

ADA yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran?
Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.
Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.
Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.
Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.
Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.
Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.
Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.
Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.
Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.
Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat tip.
Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.
Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.
Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.
Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.
Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.
Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.
Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.
Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.
Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH


CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.

Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” (HR Tirmidzi dan Ibn Majah)

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa’: 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: “Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya”. Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.(Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), ‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai”. (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1.    Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2.    Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3.    Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.

4.    Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.

5.    Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6.    Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

7.    Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:

1.    Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: “Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda”. (riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)

2.    Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3.    Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma’ bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: “Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?” Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: “Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)”.

4.    Baginda bersabda bermaksud: “Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya”. (riwayat Ahmad 6/456)

5.    Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

6.    Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta’ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

7.    Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

8.    Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)