Saturday, October 8, 2011

TANGGUNGJAWAB BERSAMA SUAMI ISTERI

Tanggungjawab bersama bermaksud kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh kedua belah pihak secara bersama dalam usaha mewujudkan sebuah ikatan suami isteri yang kukuh dan padu. Tanggungjawab tersebut adalah sebagaimana berikut:


Pergaulan yang baik
Suami isteri mestilah mempunyai hubungan dan pergaulan yang baik dan harmonis mengikut landasan yang diredhai Allah. Jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan yang kesat serta perkataan yang boleh menyakiti hati pasangan sama ada dengan tujuan marau atau bergurau.


Amanah
Amanah memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam perhubungan suami isteri. Sifat amanah ditanamkan di dalam diri masing-masing dan jangan sesekali melakukan sebarang pengkhianatan dan ada niat jahat di dalam pergaulan harian suami isteri dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara.


Saling kasih mengasihi
Perasaan kasih sayang yang suci dan ikhlas perlu ada di dalam perhubungan di antara suami isteri. Ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan perasaan ini ditambah lagi dengan sikap timbangrasa, dan perkara ini juga jika diamalkan sudah pastinya keharmonian dalam rumahtangga akan terpancar.


Saling percaya mempercayai
Sikap saling percaya mempercayai di antara suami isteri adalah perlu bagi mengekalkan keharmonian di dalam hidup berumahtangga. Tanpa sikap ini pasangan akan terdedah kepada prasangka buruk yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam berumahtangga dan boleh meretakkan hubungan suami isteri. Suami isteri juga tidak perlu meragui keikhlasan dan kebenaran pasangan masing-masing sekiranya tidak ada tanda-tanda penyelewengan dilakukan oleh mana-mana pihak.


Faham memahami
Sikap saling faham memahami di antara satu sama lain adalah sikap yang perlu ada pada diri setiap pasangan suami isteri. Dengan adanya sikap ini secara tidak langsung akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang suami isteri. Segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna sekiranya sikap ini diamalkan dengan ikhlas.


Saling tolong menolong
Islam tidak memberatkan kerja-kerja harian rumahtangga seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak dan sebagainya untuk dipikul oleh isteri semata-mata. Sebaliknya kerja-kerja tersebut sebenarnya adalah tanggungjawab bersama di antara suami isteri. Sekiranya sikap tolong menolong ini diamalkan oleh suami isteri diyakini akan terlahirlah sebuah keluarga yang harmoni dan tenteram.


Memenuhi keperluan seksual
Di antara tanggungjawab bersama yang perlu disempurnakan oleh pasangan suami isteri adalah menyempurnakan keperluan seksual masing-masing. Ramai pasangan suami isteri yang enggan berbincang mengenai hubungan seks mereka dengan pasangan. Mereka beranggapan bahawa perkara tersebut adalah terlalu rahsia dan sulit untuk dibincangkan. Pendapat serta pandangan ini ternyata salah dan ianya lari dari matlamat sebenar perkahwinan sebagaimana yang dianjurkan syarak.

Islam amat memandang serius perkara ini serta beranggapan bahawa perhubungan seksual ini adalah merupakan sebahagian kehidupan perkahwinan yang harus dibina bersama oleh suami dan isteri demi keharmonian rumahtangga. Manakala untuk membinanya suami isteri harus menyedari bahawa hubungan seksual harmoni memerlukan kepada proses pembelajaran. Tanggungjawab untuk belajar ini bukan terletak sahaja kepada suami malah suami isteri kedua-dua harus mengambil inisiatif untuk mempelajarinya.

Kejahilan terhadap hubungan suami isteri secara khususnya dan boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga secara amnya. Justeru itu setiap pasangan suami isteri hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjadikan hubungan seksual mereka lebih seronok dinikmati di samping mencapai keredhaan Allah.

No comments:

Post a Comment